Sunday, July 21, 2013

Mauidzah Tok Guru 4


13-16 Ramadhan 1434/ 22-25 Julai 2013
Seorang alim besar bernama Maimun bin Mahran berkata: "Rugilah mana-mana orang yang kamu berkawan dengannya tetapi tidak dapat mengambil manfaatnya, tidak mendatangkan kesusahan jika kamu berbalah dengannya." Kehidupan manusia dalam masyarakat hanya dalam dua keadaan, sama ada bersahabat atau berseteru. 
Jika bersahabat mestilah mendatangkan manfaat, sama ada bertolong bantu atau sebaliknya. Jika tidak begitu bererti mereka telah berbalah. Sayogia hajat sahabatnya hendaklah seperti hajatnya sendiri atau lebih penting daripadanya. Islam mengajar hidup bermasyarakat agar meletakkan kepentingan dan hajat sahabatnya lebih utama daripada hajatnya sendiri. 
Yang demikian itu masalah 'ithar' iaitu mengutamakan sahabat, tentang ketinggian akhlak islam daripada kaca mata tasawuf. Apabila mempelajari tasawuf, akan terdapatlah persoalan keperluan orang lain jadi keutamaan sebelum keperluan diri sendiri. Jika tidak sampai ke peringkat itu tidaklah dinamakan ajaran tasawuf, kerana ajaran tasawuf itu ialah ajaran yang menyentuh hati sanubari. 
Mengutamakan kepentingan orang lain memang berat, dalam keadaan berat dipikulnya juga. Akan diberi upah atau pahala yang banyak, melimpah ruah di akhirat kelak. Seseorang hendaklah bertanya khabar orang lain ketika menempuh situasi sukar, tidak lalai daripada hal masyarakat sebagaimana tidak lalai terhadap hal ehwal urusan sendiri. 
Sebolehnya seseorang itu hendaklah mengkayakan sahabatnya hingga mereka tidak perlu merayu minta tolong lagi. Memberi pertolongan kepada seseorang bukannya untuk mendapat balasan atau mengharap ucapan terima kasih, jauh sekali ada perasaan untuk mendapat upah.
Bahkan merasa mujur dan berasa terhutang budi kerana dia terima titik peluh kita. Dengan itu kita mendapat kawan, insyaAllah berpeluang untuk menerima pahala. Perkara begitu tidak seberat mana andainya bersedia mendidik hati untuk menerima ajaran agama, tetapi jika berada dalam masyarakat kebendaan yang bergerak sedikit terpaksa kena bayar upah.
 
Tidak berhasrat untuk berbudi atau teringin untuk mencari pahala, bererti tidak wujud semangat persahabatan dan setia kawan. Ajaran islam itu sewajarnya menjadi amalan masyarakatnya, kerana ia benar-benar menstabil dan mengharmonikan masyarakat. 
Seorang ulama besar bernama Ato' berkata yang bermaksud: "Anda hendaklah bertanya khabar kawan-kawan, selepas tidak bertemu dengannya selama tiga hari. Mungkin disebabkan dia sakit yang mustahak ahli masyarakat melawatnya, untuk tolong bantu dan mendoakannya. Ketiadaannya mungkin kerana sibuk bekerja di mana ahli masyarakat wajar menolongnya, ataupun mungkin kerana terlupa yang mustahak diperingat dan menasihatinya." 
Memberi peringatan dan menasihati adalah langkah paling bijak ahli masyarakat, atas beberapa alasan yang munasabah. Sebagai hamba Allah s.w.t yang hidup menumpang di bumiNya, menikmati pelbagai anugerahNya secara percuma, 24 jam menikmati anugerah Allah s.w.t, sepatutnya seimbang mesti solat sepanjang masa itu juga. 
Barulah setimpal bagi membalas anugerahNya. Tetapi Dia meminta hambaNya menunaikan solat fardhu berjemaah hanya lima kali. Wajar diperingatkan dengan pelbagai contoh, seperti yang disaksikan oleh Nabi s.a.w ketika peristiwa Mikraj. Menghantuk kepala sendiri hingga pecah kerana tinggal solat, serta pelbagai azab lagi di dalam kubur. 
Perkara begitu wajar sering disebut, agar hatinya akan lembut dan terbuka untuk menerima segala nasihat itu. Demikianlah Ato' r.a. berpendapat; ketidakhadiran seseorang solat jemaah selalunya berpunca daripada tiga perkara; waimma dia sakit yang perlu diziarahi. Disibukkam dengan kerja dia perlu ditolong, jika terlupa perlulah ahli masyarakat menasihatinya, sebagai tanda wujud ingatan dan persahabatan. 
Berkata Said ibn al-'Ash yang bermaksud: "Aku letak tiga perkara sebagai tanggungjawabku kepada seseorang, apabila dia datang kepadaku maka kuucapkan" marhaban"(sila duduk dengan senang)  dan jangan cemas atas kehadirannya. Apabila kawanku bercakap maka kuhadapkan sepenuh perhatian padanya, kehadirannya diberikan twmpat duduk yang selesa. "
Lantaran di pihak yang menerima kedatangannya, terpaksa mengambil masa untuk melayannya. Sewajarnya di pihak yang datang hendaklah bercakap sekadar yang perlu. Jangan ambil kesempatan untuk menyembang membuang masa tuan rumah.
 
Islam mengajar di pihak yang mendengar, hendaklah menjadi pendengar yang bijak dan bersungguh. Sementara orang yang mengadu hal hendaklah bercakap dengan padat dan tepat, tidak berjela-jela membuang masa. Ini kerana masa itu anugerah Allah s.w.t amat mustahak, wajib dijaga dengan sebijaknya agar terhindar daripada membazir usia. 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang kafir tetapi kasih sayang sesama mereka." (Surah al-Fath, ayat 29) 
Ayat tersebut memberi panduan tidak boleh berbalah sesama muslimin, sebaliknya perlu berkasih syang sesamanya. Jika antara kedua-duanya berlaku salah silap, hendaklah bersikap seperti dua belah tangan. Apabila melihat tangan kiri cemar kotor, maka tangan kanan akan tolong bersihkannya. Begitu juga sebaliknya.

No comments: