Monday, July 15, 2013

Mauidzah Tok Guru 2

Sedang membelek sambil membaca sepintas lalu berita-berita dari newspaper ni, tetiba terhenti di satu halaman.

"Pentingkan Diri Bukan Sifat Terbaik Dalam Bersahabat". Tajuk yang biasa. Semua orang tahu, bersikap individualistik bukan sifat terbaik dalam sesuatu perhubungan, terutamanya persahabatan.
Tapi, apa yang menarik dalam artikel ni? Kupasan Tok Guru, memang mantap. Tajuk yabg biasa tapi ilmu baru.

Tok Guru menulis...
-Harakah, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013
Ada alim ulama zaman dahulu, tidak bersahabat dengan seseorang yang berkata; "ini kasut saya." Ditelitinya kata-kata orang yang akan dijadikan sahabat itu. Sekiranya lebih banyak buah kata yang menggambarkan hak miliknya, maka ulama tersebut tidak akan bersahabat dengan orang begitu. 
Amat berat untuk bersahabat dengan mereka, yang lebih banyak bercakap tentang hak miliknya saja. Meskipun benda itu memang miliknya sebenar, tetapi lebih baik dia berdiam diri daripada mempamerkan keakuannya. Sifat keakuan menggambarkan adanya kepentingan diri, tidak sesuai untuk persahabatan. 
Dalam persahabatan sepatutnya mewujudkan semangat kepentingan bersama, sekaligus pada hakikatnya benda itu bukan milik bersama. Beliau tidak pernah melakukannya perkara itu tersa berat baginya, bagaimanapun wajar ada azam dalam hati untuk lakukan kaedah persahabatan Islam yang luhur itu. 
Zainal Abidin iaitu Ali bin Husin r.a bertanya kepada muridnya: "Adakah pernah di antara kamu seluk kocek atau beg galas kawannya, diambil untuk keperluannya wang dirham tanpa izin kawannya itu?" Jawab muridnya: "Tidak pernah." Kata Zainal Abidin: "Jika demikian anda masih tidak bersahabat lagi." 
Menurut Zainal Abidin; orang yang bersahabat rapat tidak marah, jika poket atau beg galasnya diseluk kawan rapat lalu diambil wang walaupun tanpa izinnya. Ada pihak menganggap perbuatan itu serupa dengan mencopet, namun segera dinafikan oleh Zainal Abidin, kerana merompak itu dilakukan lazimnya terhadap orang yang tidak dikenali.
Orang yang sanggup melakukan perkara tersebut, lantaran harta dalam poket sahabatnya dianggap sebagai milik bersama. Perbuatan itu dianggap sebagai tanda persahabatan yang amat akrab. Tidak sanggup berbuat begitu tandanya dia masih mementingkan wang daripada persahabatan. 
Sedangkan masyarakat islam mempunyai sistem berkawan, iaitu terdapat suhbah dan ukhuwwah. Sanggup bersahabat sebagai yang dikasihi, atau sebaliknya meminati harta kekayaan, yang belum tentu menyelamatkan dirinya di akhirat kelak. Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan kisah persahabat luar biasa; suatu hari ada orang bawa hadiah kepada sahabat Nabi daripada kalangan 'Ashabus Suffah.' 
Walau bagaimana miskin,hadiah itu diterima dan diserah kepada sahabat yang lain, kerana menganggap sahabat tersebut lebih memerlukan berbanding dirinya. Hadiah tersebut bertukar tangan daripada seorang, hingga kepada sahabat yang ketujuh dan menyerahkan kepada sahabat yang kelapan. 
Tetapi sahabat kelapan itu sebenarnya ialah; sahabat pertama yang mula-mula menerima hadiah tadi. Kisah tersebut menggambarkan betapa tingginya perasaan simpati, di kalangan para sahabat yang mulia. Mengatasi kepentingan diri sendiri kerana mengutamakan sahabatnya yang lain. Sifat prihatin menjaga keselamatan sahabat berbanding diri sendiri. 
Golongan 'ahlus syuffah' adalah kalangan para sahabat, ditempatkan di serambi masjid yang dididik oleh Nabi s.a.w. sendiri. Sehingga memiliki keperibadian yang agung itu. Al-Imam Ad-Daroni (ulama dihormati oleh al-Ghazali) berkata; "Seandainya harta seluruh dunia dikurniakan kepadaku, nescaya akan kuberikan kepada hanya seorang sahabat karibku. Tentunya aku merasa masih terlalu sedikit pemberianku itu." 
Manusia jika sampai kepada peringkat faham, maka sebanyak mana harta di dunia ini akan merasa sedikit, meskipun yang diberikan kepada orang lain sebesar dunia namun jika boleh akan memberinya lagi. Kerana sebuah mahligai di syurga yang akan dikurniakan kepada manusia, lebarnya sahaja umpama seluas langit dan bumi. 
Pemberian kepada seseorang meskipun sama banyak dengan harta dunia, masih terlalu sedikit jika dibanding dengan kurnia Allah s.w.t. di akhirat kelak. Selain menyumbang wang dan harta apabila kita bersahabat karib dengan seseorang, hendaklah memberi kelapangan dan keselesaan rumahnya untuk mereka. 
Jangan ada sesuatu perkara yang menyebabkan sahabat kita berasa segan, untuk singgah dan masuk ke rumah kita. Justeru itu terdapat ucapan ahlan wa sahlan di kalangan masyarakat islam, ucapan tersebut amat sesuai dengan falsafah persahabatan murni yang dituntut oleh islam itu. 
Ahlan itu bererti semua di kalangannya dan mereka adalah ibarat ahli keluarga sendiri, dan sahlan itu pengertian asalnya ialah tanah lembah, yang tiada gunung-ganang dan jurang mudah manusia melaluinya. Ini bererti rumah kita tiada yang menjadikan rakan kita, merasa kekok atau segan untuk memasukinya. 
Ini kerana rumah tersebut keadaanya sahlan iaitu tiada sebarang halangan atau rintangan bagi mereka. Ibarat rumah milik sendiri. Mereka boleh masuk ketika tuannya tiada di rumah, kerana rumah kita seperti rumah mereka juga, justeru itu hendaklah berlaku sebaliknya. 
Mereka tidak perlu terkejut dan heboh, kerana mereka berdua sudah jalin ukhuwwah atau persaudaraan dengan erat. Tidak ada halangan memasuki rumah seperti yang disebut dalam al-Quran 'au sodoqikum', yang bermaksud: "atau di rumah kawan-kawanmu." (Surah An-Nur, ayat 61). Ayat ini sebahagian daripada ayat yang panjang yang Allah s.w.t. jelaskan tiada halangan memasuki rumah kawan rapatnya (sodiq) itu.

Allahu Allah.. muhasabah balik, di peringkat mana persahabatn kita? Adakah hanya di tahap pertama - salamatus shodri (berlapang dada) ? Atau di peringkat kedua - musawah (persamaan) ? Atau sudah mencapai ke tahap tertinggi - ithar (melebihkan kepentingan sahabat melebihi kepentingan diri) ?

Semoga persahabatan yang terjalin adalah kerana Allah.





No comments: