Friday, July 19, 2013

Mauidzah Tok Guru 3

Lagi perkongsian daripada Tok Guru di dalam akhbar, 10-12 Ramadhan 1434/19-21 Julai 2013

Kali ni, mauidzah al-fadhil Tok Guru kita bertajuk "Hulur Bantuan Sebelum Sahabat Meminta".


Dalam surah an-Nur ayat 61 menjelaskan: "Bahawa tidak ditegah memasuki rumah dan makan, terhadap begitu banyak rumah golongan tersenarai yang dijelaskan oleh Allah s.w.t."
Termasuk golongan "sodiq" yang bererti kawan rapat, yang saling mempercayai dan membenarkan antara satu sama lain.
 
Termasuk pihak yang diharuskan memasuki rumahnya, mereka saling tidak meragui apa jua yang diperkatakan oleh kedua-dua pihak di kalangannya. Begitu juga rumah yang kamu diberi kepercayaan memegang kuncinya, kerana hanya sahabat yang dipercayai sahaja diberi menyimpan kunci rumahnya. situasi itu bukti perhubungan antara kedua-duanya sangat erat. 
Allah s.w.t. menurunkan ayat 61 surah an-Nur itu, kerana pada ketika itu walaupun berkawan begitu raapt, namun merasa tidak sampai hati untuk makan di rumah sahabatnya lantaran takwa, justeru itu hingga ayat 61 surah an-Nur diturunkan. 
Ayat tersebut juga mengizinkan kepada umat islam untuk makan minum, dengan senang hati di rumah sahabatnya yang bertaraf "sodiq" dan di rumah orang yang diberi kepercayaan memegang kunci rumahnya. Meskipun mereka tiada di rumah, tidak merasa bimbang akan dimurkai Tuhan, kerana terdapat golongan yang diberi kelonggaran. 
Lantaran mereka termasuk di bawah persaudaraan, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 61 surah an-Nur itu. Setelah dinyatakan peranan harta benda dan hubungan dalam persaudaraan, yang bertaraf "sodiq" dan kepercayaan itu, kini dinyatakan pula peranan khidmat tenaga dalam hubungan persahabatan. Jangan biarkan sahabat dengan tidak mengambil peduli susah senang kehidupan mereka. Tolong bantu dengan tenaga serta jiwa raga, bagi mengatasi kesempitan dan keperluan hidup sahabatnya, seperti yang dituntut oleh islam. 
Menilai keperluan dengan usaha kajian sebelum sahabatnya meminta sesuatu. Apabila diamalkan kepedulian tinggi di kalangan masyarakat, dengan sendiri tidak wujud dengki khianat dan perbalahan sesama mereka. Satu di antara perkara utama yang perlu dilakukan ialah; tunaikan hajat saudaranya lebih dahulu sebelum daripada menunaikan keperluan sendiri. 
Perkara tersebut tidak keberatan bagi mereka yang Allah s.w.t. kurniakan rezeki lebih sebagai orang berada, amat wajar mereka melakukan ajaran tersebut. Menunai hajat orang lain dengan tenaga serta jiwa raga mempunyai darjat (peringkat), sebagaimana menyempurna hajat sahabatnya dengan harta benda. 
Paling rendah darjat persahabatan mereka ialah; menyempurnakan ketika sahabat karib telah datang menyatakan hajatnya. Keprihatinan terhadap saudaranya dapat dilihat apabila ahli yang istiqamah berada di masjid, tiba-tiba orang berkenaan tidak kelihatan berjemaah pada suatu waktu. 
Ini menyebabkan orang yang tinggi rasa keprihatinan segera menyelidik tanya; apakah keuzuran sahabat itu hingga tidak hadir solat berjemaah. Sebaik mengetahuinya dia lebih dahulu menziarahinya jika sahabatnya itu ditimpa sakit, sebelum pihak lain memberitahunya. 
Dialah individu terawal membantu jika sahabatnya hadapi masalah pada diri atau keluarganya. Jika seseorang memiliki kudrat untuk memberi pertolongan, sepatutnya pertolongan diberikan sebelum sahabat menyatakan hajatnya. 
Pertolongan diberikan secara rela hati, dengan ceria serta wajah manis dan gembira, merasa bertuah atas kehadirannya, kerana berpeluang untuk mendapat pahala, bukan kerana malu atau keadaan terpaksa. Tetapi kerana orang itu telah datang minta bantuan. 
Sebahagian alim ulama menyatakan; bahawa apabila seseorang menemui sahabatnya untuk mohon disempurnakan sesuatu hajatnya, sayangnya mereka tidak menunaikan hajat tersebut, ketika itu hendaklah diperingatkan dia untuk kali kedua, mungkin dia terlupa. Andainya diberi peringatan kedua dia mengabainya juga bererti jiwanya telah mati. 
Apa ertinya hidup bersama dalam masyarakat, jika mengabaikan budaya bertolong bantu sesama ahli masyarakat. Justeru itu wajar didoakan ke atasnya semoga Tuhan hidupkan jiwanya yang telah mati, agar dapat bertemu seterusnya dalam situasi berkebajikan.
Alim ulama zaman silam ada yang ambil berat tentang nasib balu adik-beradiknya, walaupun saudaranya telah mati 40 tahun dahulu. Saban hari ulama berkenaan masih ulang alik, untuk ambil tahu bagi mengatasi segala keperitan hidup keluarga balu adik-beradiknya.
 
Orang itu bertanya khabar setiap hari, tentang makan minum serta lain-lain masalah, orang lain tidak menyedari meskipun telah berpuluh-puluh tahun dilakukuannya. Dengan cara begitu nampaklah simpati serta kasihan belas seseorang terhadap saudaranya yang telahmeninggal dunia. 
Jika tiada simpati dan kasihan belas terhadap saudara atau kawannya, maka tiada kebajikan seseorang itu bersaudara atau bersahabat. Ia terjadi lantaran pengetahuan agamanya amat sempit, mereka jarang bertemu dengan peristiwa begini dalam masyarakatnya.
Seolah-olah persahabatan dan ukhuwah islamiyah tidak wujud dalam kehidupan beragama, akhirnya masyarakat punah ranah dan hidup dalam situasi nafsi-nafsi. Segalanya mendedahkan masyarakat umat islam kian jauh daripada semangat hidup beragama.
Teringat kata-kata akhi naqibahku,
"Ukhwah/silatur rahmi yang berdasarkan akidah lebih baik/afdhal drpn ikatan darah (kekeluargaan). Antara sebabnya ikatan ukhwah akidah ialah ikhtiariah (boleh dipilih) manakala ikatan darah ijbariah (tak leh dipilih).
Kita boleh memilih siapa sahabat kita, tapi kita tak leh pilih siapa abang kandung kita....tp kalau ikatan darah plus ikatan akidah mestilah lagi hebat."
Allah.. hebatnya ukhuwah yang terjalin atas nama Allah. Bukan sahaja manis kerana kasih sayang kita, malah lebih manis kerana adanya redha Allah.

No comments: