Thursday, July 18, 2013

Allah Juga Berahsia

Semua orang mesti ada rahsia masing-masing kan? Dan, kalau dah namanya rahsia, tak seorang pun yang tahu, even family dan sahabat karib sendiri. Hanya Allah dan diri kita sahaja yang tahu rahsia itu.
Rahsia tu amanah. Amanah yang perlu disimpan dan dijaga sehabis baik supaya tak terlepas kat orang lain. Kalau dah terlepas, takde maknanya lah rahsia tu.

Macam tu jugak Allah. Walaupun Allah dah menerangkan segala-galanya tentang kehidupan di dunia dan di akhirat, still ada beberapa perkara yang Allah rahsiakan daripada pengetahuan hamba-hambaNya.

Enam perkara, menurut Umar al-Khattab r.a, yang Allah sembunyikan adalah;

1-Allah menyembunyikan keredhaan dalam ketaatan. Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatan yang kita persembahkan kepadaNya supaya kita tidak kecewa di atas amalan
tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut, walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.

2-Allah menyembunyikan kemurkaan di atas kemaksiatan kita. Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat ar-Rahman di dunia.Sedangkan sebenarnya Allah murka kepada kita. Sepatutnya kita gunakan peluang ini untuk bertaubat kepada Allah SWT. Bayangkan kalau Allah zahirkan kemurkaanNya? Allahu akbar, sudah tentu hidup kita jadi tak keruan, tak tentu hala. Dalam satu jam, berapa banyak maksiat yang kita buat? *Muhasabah* Astaghfirullah...

3-Allah menyembunyikan kedatangan Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain. Oleh itu Allah menghendaki hambaNya melakukan ketaatan sepanjang ramadhan dan sepanjang hayatnya. andaikata Lailatul Qadar ni diumumkan tarikhnya, mesti kebanyakan daripada kita hanya akan beribadat pada malam tersebut saja kan?

4-Allah menyembunyikan wali-wali Allah atau hambanya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut. Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.
Sebab tu, sebaiknya kita tidak sesuka hati menghina atau mempersendakan sesiapa di kalangan kita. Boleh jadi, sahabat kita adalah wali Allah. Siapa tahu, kan?

5-Allah menyembunyikan saat kematian hambaNya dengan hikmah agar hambaNya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja. Jika Allah zahirkan tarikh dan tempat kematiannya pasti hamba-hambaNya tidak dapat menjalani kehidupan ini dengan tenang dan sempurna. Lihatlah banduan yang berada di bilik akhir sebelum dihukum gantung, mereka tidak tenang kerana terlalu takutkan kematian yang bakal dihadapi.

6-
Allah menyembunyikan solat yang paling utama di antara lima waktu solat disisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat. Jika Allah zahirkan penerimaan solat kita pasti kita akan bermegah-megah sesama manusia dan akan lalai serta mengambil peluang untuk melakukan maksiat.

Marilah kita bermuhasabah semula atas segala apa yang kita lakukan sepanjang hidup kita. Apakah kita akan ditempatkan di syurga atau sebaliknya? 
Ingatlah, banyaknya amalan kita takkan menjamin kita ke syurga kerana manusia tidak akan masuk ke syurga kerana amalannya, sebaliknya dengan rahmat dan kasih sayang daripada Allah. Berdoalah semoga Allah sentiasa merahmati kita.

No comments: