Monday, July 8, 2013

Mauidzah Tok Guru 1

Sejak belakangan ni baru terasa rajin nak belek satu persatu halaman. Sampai part AGAMA, ehh, menarik ni! Mauidzah Tok Guru!
3-5 Ramadhan 1434/12-14 Julai 2013
"Sifat Mukmin Dahulukan Sahabat Daripada Dirinya"
Islam amat menggalakkan agar hidup sentiasa bersahabat. Apabila berkawan ada tanggungjawab terhadap harta benda, iaitu harta benda kita terhadap sahabat dan begitu juga sebaliknya. Taraf persahabatan itu mempunyai tiga keadaan; yang paling rendah ialah kawan kita umpama budak suruhan di bawah jagaan kita, apabila tidak selesai urusan kita, baru diserahkan kepada mereka. 
Kedua, sahabat itu setaraf dengan kita, iaitu kita rela harta dikongsi bersama, sebaliknya dia pun demikian juga. Ketiga peringkat yang tinggi iaitu 'ithar' mengutamakan orang lain sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "...Dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun diri mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kebakhilan dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah al-Hasyr, sebahagian ayat 9) 
Itulah sifat mulia yang ditunjukkan oleh golongan ansar, terhadap saudaranya golongan muhajirin yang berhijrah ke Madinah bersama Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum menyempurnakan hajat diri sendiri, mereka lebih dahulu bertanya khabar kawannya golongan muhajirin. Dikhuatiri ada perkara yang lebih mustahak berbanding dirinya sendiri. 
Seandainya dalam tiga kategori itu tiada satu pun dirinya termasuk di dalamnya, tidak pada peringkat kawan umpama orang suruhan, tidak juga peringkat yang kedua di mana sama taraf antara dirinya dan kawannya, jauh sekali di peringkat ketiga yang lebih mengutamakan sahabatnya daripada diri sendiri, ketahuilah, bahawa kesimpulan persahabatan itu tidak wujud langsung pada diri dan jiwanya. Ertinya seseorang itu berkawan bertaraf kebetulan, disebabkan mereka berjiran dan berjumpa tanpa dijangka. Tanpa suatu ikatan setia yang terjalin antara mereka. Berkawan tanpa ikatan pasti tiada rasa 'ukhuwah' dan 'shuhbah', sekadar tegur sapa seperti berjumpa di jalanan atau di pasar-pasar. 
Dalam situasi demikian sudah pasti tiada tanggungjawab dan keprihatinan sesama mereka. Sebagaimana seorang lelaki dan wanita dijalin dengan ikatan akad nikah sebagai suami isteri, yang membawa kepada pelbagai tanggungjawab. Justeru, sesama manusia mesti ada jalinan ikatan tertentu, seperti ikatan persahabatan dan ukhuwah. Supaya ada rasa tanggungjawab terhadap rakan karibnya. 
Orang yang tiada ikatan ukhuwah ('aqdul ukhuwah) di antara mereka, sesamanya akan mudah terjerumus ke lembah persengketaan dan perbalahan. Seorang alim bernama Maimun bin Mahran berkata: "Sesiapa berkawan tetapi tidak ambil peduli tentang lebih-melebih dan beri tumpuan kepada kawannya, situasi itu umpama berkawan dengan jenazah." 
Sudah tahu rakannya dilanda kesusahan, sedangkan dia mampu menolongnya, namun tetap tidak membantunya malah mengutamakan diri sendiri. Ketika itu tiada bezanya antara berkawan dengan orang hidup atau mayat. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "...sedang urusan sesama mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Surah as-Syura, sebahagian ayat 38) 
Sifat dalaman orang mukmin, ialah sebarang urusan yang hendak dilaksanakan lebih dahulu diputuskan melalui mesyuarat. Sifat kedua ialah sanggup membelanjakan harta kekayaan, untuk urusan ummah dan agama. Sesetengah manusia rajin bermesyuarat, malangnya kedekut menafkahkan harta banda yang dikurniakan Allah s.w.t terhadap kawannya. Sikap demikian bercanggah dengan sifat orang mukmin. 
Kedua-duanya mesti selaras antara sesuatu urusan diputuskan melalui mesyuarat, dengan menafkahkan harta benda, sesuai perkara yang dicapai bersama oleh keputusan mesyuarat. "Menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka" ialah bergaul dan berkepentingan bersama antara mereka daripada sesetengahnya. 
Meskipun pada hakikatnya ia milik orang tertentu, namun ia boleh dimanfaatkan bersama dalam urusan yang diredhai Allah s.w.t. Situasi tersebut terjadi kerana ada ikatan persahabatan yang terjalin antara mereka. Alangkah sukarnya untuk sampai ke tahap situasi demikian. Memang begitulah hakikat bahawa syurga itu suatu yang amat istimewa, amat sukar untuk dicapainya. 
Tiada pilihan bagi seseorang di mahsyar kelak, melainkan mesti meniti titian halus 'siratul mustaqim', di permukaan neraka yang sangat dahsyat itu. Jika dalam keadaan menerima rahmat Allah s.w.t.,  atas keimanan dan ketaatan, selamatlah dia sampai ke syurga. Sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah s.w.t yang bermaksud :"Dan tidak ada seorang pun daripadamu melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. " 
" Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim dalam neraka dalam keadaan berlutut. " (Surah Maryam, ayat 71-72)
Begitulah sukarnya untuk sampai ke syurga yang dijanjikan Tuhan, sebagaimana hendak mendapatkan pahala di dunia ini mesti melalui kesukaran juga. Orang zalim dan kafir hanya bermimpi untuk masuk syurga, kerana tempatnya di neraka telah ditentukan oleh Allah seperti dinyatakan dalam ayat 72 surah maryam itu.

Be the one until you get that one :)

No comments: