Tuesday, March 25, 2014

Berubah dan Mengubah.

Bismillah.

“Ada sebab Allah kenalkan kita dengan seseorang; samada kita yang ubah dia atau dia yang ubah kita.”

Banyak kali terbaca kata-kata ini, ada juga beberapa kali diberi oleh insan sekeliling. Mungkin, maksud yang nak disampaikan tak sama, kerana tiap manusia tu punya fikrah dan cerita yang berbeza.
Namun, secara peribadi, aku taklah menyetujuinya 100%, dan taklah juga menafikannya 100%. Benar, Allah menghadirkan seseorang dalam kamus hidup kita untuk pelbagai tujuan. Ada yang dihantar sebagai alat penguji, apakah kita bersyukur dengan nikmatNya, atau kufurkah kita? Ada yang dihantar, sebagai daie yang tak lekang menasihati dan membimbing kita, supaya hidup kita sentiasa terpandu dan terarah pada jalanNya. Ada juga, dihantar sebagai ujian, untuk meningkatkan keimanan dan kesabaran kita.
Ubah. Apa yang berubah? Siapa yang mengubah siapa? Berubah bagaimana? Kata-kata ini sebenarnya memberi makna yang sangat luas dan subjektif. Tiada siapa boleh menafikan, kerana pendapat itu untuk diraikan, tiada yang betul, tiada yang salah. Semuanya bergantung pada jalan cerita masing-masing.

Aku, ya, aku terima kehadiran sesiapa sahaja dalam cerita hidupku, optimis pada pemberian Allah. Namun, apa yang hendak aku sampaikan pada pendapat peribadiku, maksud ubah di sini, bukanlah kita mengubah seseorang supaya mengikut segala arahan dan telunjuk kita, kata lain, bukanlah kita mengongkong kehidupan dia. Biarkan dia dengan hidup dia, biarkan dia dengan caranya, Cuma apa yang perlu, kita bimbing dia supaya tak terlari dari landasan syariat. Bukan hak kita untuk menyekat kebebasannya bersosial, tapi hak kita adalah membimbingnya supaya bersosial secara syarie. Bukanlah hak kita untuk menetapkan dengan siapa dia patut berkawan, hak kita cumalah menasihatinya supaya berkawan secara syarie. Syarie? Bagaimana syarie yang dimaksudkan? Selagi mana cara dan hadafnya tak bertentangan dengan hukum Allah, tak melalaikannya dari zikrillah, maka izinkanlah dia. Amalkanlah sikap bertoleransi, kerana setiap batang tubuh itu mempunyai hak dan kemahuan yang tersendiri. Biarkanlah, selagi mana dia tidak memudharatkan agama, nyawa, negara, dan sesiapa di sekelilingnya, raikanlah. Berilah kebebasan kepadanya.

Ubah. Ubah sekiranya dia terpesong, maka ubahlah dia supaya berpatah arah, kembali pada jalan yang lurus. Andainya dia terlalai dan terleka, ubahlah. Sedarkan dia bahawasanya dunia bukan tempat berhibur semata-semata, tetapi kita ada agenda besar untuk di bawa ke akhirat kelak. Ubah. Ya, ubahlah dari keburukan kepada kebaikan. Bukan dari aktif ke pasif. Dari ceria ke durjana.

Fahamilah, dia juga punya jiwa untuk bebas memilih mengikut pilihannya. Fahamilah semampumu, berikan kebebasan padanya, sokonglah dia saat dia membutuhinya, bimbinglah saat dia alpa leka. Sungguh, menjadi sebaik-baik sahabat bukanlah sesuatu yang mudah kerana keakraban itulah yang lebih banyak menguji dari kejauhan. Benarlah, kata orang, kalau sayang, tinggal-tinggalkan.

Tinggalkan bukan kerana kita tidak mempedulikannya lagi, sebaliknya supaya ada bibit rindu yang bercambah saat berjauhan, supaya kita sentiasa merasai keperluannya dalam hidup kita, supaya kehadirannya lebih bermakna dari sebelumnya. Bukankah manusia itu lebih menghargai apa yang jauh di mata?

Kerana persahabatan itu bukanlah yang sentiasa bersama, sentiasa bertemu mesra, mereka ialah insan yang tak pernah ketinggalan dalam setiap lafaz dan bisikan doa kita. Maka, janganlah ukur akrabnya persahabatan kerana kerapnya pertemuan dan berkongsi rasa, sedangkan persahabatan yang lebih indah dan sejati itu, membawa kita lebih mengingati Yang Maha Memberi dan Mengurniakan. Moga persahabatan yang dikurniakan ini, mendekatkan kita kepada Pencipta, menjadikan kita lebih mesra dengan Pencipta melebihi mesranya kita dengan ciptaanNya. Allahu taala a3lam bisshawab.

No comments: