Sunday, July 21, 2013

Mauidzah Tok Guru 4


13-16 Ramadhan 1434/ 22-25 Julai 2013
Seorang alim besar bernama Maimun bin Mahran berkata: "Rugilah mana-mana orang yang kamu berkawan dengannya tetapi tidak dapat mengambil manfaatnya, tidak mendatangkan kesusahan jika kamu berbalah dengannya." Kehidupan manusia dalam masyarakat hanya dalam dua keadaan, sama ada bersahabat atau berseteru. 
Jika bersahabat mestilah mendatangkan manfaat, sama ada bertolong bantu atau sebaliknya. Jika tidak begitu bererti mereka telah berbalah. Sayogia hajat sahabatnya hendaklah seperti hajatnya sendiri atau lebih penting daripadanya. Islam mengajar hidup bermasyarakat agar meletakkan kepentingan dan hajat sahabatnya lebih utama daripada hajatnya sendiri. 
Yang demikian itu masalah 'ithar' iaitu mengutamakan sahabat, tentang ketinggian akhlak islam daripada kaca mata tasawuf. Apabila mempelajari tasawuf, akan terdapatlah persoalan keperluan orang lain jadi keutamaan sebelum keperluan diri sendiri. Jika tidak sampai ke peringkat itu tidaklah dinamakan ajaran tasawuf, kerana ajaran tasawuf itu ialah ajaran yang menyentuh hati sanubari. 
Mengutamakan kepentingan orang lain memang berat, dalam keadaan berat dipikulnya juga. Akan diberi upah atau pahala yang banyak, melimpah ruah di akhirat kelak. Seseorang hendaklah bertanya khabar orang lain ketika menempuh situasi sukar, tidak lalai daripada hal masyarakat sebagaimana tidak lalai terhadap hal ehwal urusan sendiri. 
Sebolehnya seseorang itu hendaklah mengkayakan sahabatnya hingga mereka tidak perlu merayu minta tolong lagi. Memberi pertolongan kepada seseorang bukannya untuk mendapat balasan atau mengharap ucapan terima kasih, jauh sekali ada perasaan untuk mendapat upah.
Bahkan merasa mujur dan berasa terhutang budi kerana dia terima titik peluh kita. Dengan itu kita mendapat kawan, insyaAllah berpeluang untuk menerima pahala. Perkara begitu tidak seberat mana andainya bersedia mendidik hati untuk menerima ajaran agama, tetapi jika berada dalam masyarakat kebendaan yang bergerak sedikit terpaksa kena bayar upah.
 
Tidak berhasrat untuk berbudi atau teringin untuk mencari pahala, bererti tidak wujud semangat persahabatan dan setia kawan. Ajaran islam itu sewajarnya menjadi amalan masyarakatnya, kerana ia benar-benar menstabil dan mengharmonikan masyarakat. 
Seorang ulama besar bernama Ato' berkata yang bermaksud: "Anda hendaklah bertanya khabar kawan-kawan, selepas tidak bertemu dengannya selama tiga hari. Mungkin disebabkan dia sakit yang mustahak ahli masyarakat melawatnya, untuk tolong bantu dan mendoakannya. Ketiadaannya mungkin kerana sibuk bekerja di mana ahli masyarakat wajar menolongnya, ataupun mungkin kerana terlupa yang mustahak diperingat dan menasihatinya." 
Memberi peringatan dan menasihati adalah langkah paling bijak ahli masyarakat, atas beberapa alasan yang munasabah. Sebagai hamba Allah s.w.t yang hidup menumpang di bumiNya, menikmati pelbagai anugerahNya secara percuma, 24 jam menikmati anugerah Allah s.w.t, sepatutnya seimbang mesti solat sepanjang masa itu juga. 
Barulah setimpal bagi membalas anugerahNya. Tetapi Dia meminta hambaNya menunaikan solat fardhu berjemaah hanya lima kali. Wajar diperingatkan dengan pelbagai contoh, seperti yang disaksikan oleh Nabi s.a.w ketika peristiwa Mikraj. Menghantuk kepala sendiri hingga pecah kerana tinggal solat, serta pelbagai azab lagi di dalam kubur. 
Perkara begitu wajar sering disebut, agar hatinya akan lembut dan terbuka untuk menerima segala nasihat itu. Demikianlah Ato' r.a. berpendapat; ketidakhadiran seseorang solat jemaah selalunya berpunca daripada tiga perkara; waimma dia sakit yang perlu diziarahi. Disibukkam dengan kerja dia perlu ditolong, jika terlupa perlulah ahli masyarakat menasihatinya, sebagai tanda wujud ingatan dan persahabatan. 
Berkata Said ibn al-'Ash yang bermaksud: "Aku letak tiga perkara sebagai tanggungjawabku kepada seseorang, apabila dia datang kepadaku maka kuucapkan" marhaban"(sila duduk dengan senang)  dan jangan cemas atas kehadirannya. Apabila kawanku bercakap maka kuhadapkan sepenuh perhatian padanya, kehadirannya diberikan twmpat duduk yang selesa. "
Lantaran di pihak yang menerima kedatangannya, terpaksa mengambil masa untuk melayannya. Sewajarnya di pihak yang datang hendaklah bercakap sekadar yang perlu. Jangan ambil kesempatan untuk menyembang membuang masa tuan rumah.
 
Islam mengajar di pihak yang mendengar, hendaklah menjadi pendengar yang bijak dan bersungguh. Sementara orang yang mengadu hal hendaklah bercakap dengan padat dan tepat, tidak berjela-jela membuang masa. Ini kerana masa itu anugerah Allah s.w.t amat mustahak, wajib dijaga dengan sebijaknya agar terhindar daripada membazir usia. 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang kafir tetapi kasih sayang sesama mereka." (Surah al-Fath, ayat 29) 
Ayat tersebut memberi panduan tidak boleh berbalah sesama muslimin, sebaliknya perlu berkasih syang sesamanya. Jika antara kedua-duanya berlaku salah silap, hendaklah bersikap seperti dua belah tangan. Apabila melihat tangan kiri cemar kotor, maka tangan kanan akan tolong bersihkannya. Begitu juga sebaliknya.

Friday, July 19, 2013

Ajaibnya Solat Hajat

Lepas SPM,  masing-masing sibuk nak amik lesen. Termasuk aku. Alhamdulillah, tak banyak halangan utk aku amik lesen tu.  Selepas bengkel, terus ujian komputer. Lulus. Tanpa perlu berulang-ulang. Aku meneruskan lg proses. Belajar. Belajar. Dan terus belajar.

First time pegang stereng, tekan pedal minyak sendiri. Saat first time itulah, sesuatu yang tak pernah aku duga berlaku. Beberapa kali pusingan, beberapa kilometer memandu, sampai lah aku di deretan rumah kedai. Di situ lah, tragedi itulah yg membuatkan aku trauma sehingga kini. Sebuah kereta tanpa memberi sebarang isyarat, tiba-tiba berundur. Allah. Hanya Dia yang tahu betapa luruhnya jantung aku saat itu. Kereta yang aku pandu, hampir, terlalu nyaris dilanggarnya. Stereng aku berpusing hampir 360 darjah. Darah menyirap sampai ke kepala. Keadaan diri sangat tak keruan, membuatkan pemanduan aku selepas itu semakin hodoh dan tak terkawal. Aku trauma. Cikgu cuba menenangkan.

Alhamdulillah, selepas beberapa hari belajar memandu, corak pemanduanku semakin cantik. Smooth. Kata cikgu, aku dah boleh amik test, tak perlu tunggu lama. Tapi mana boleh macamtu, cikgu. Saya dah bayar.
Credit hour pun tak cukup lagi. Tak boleh, tak boleh. Diri sendiri pun masih tak yakin kemampuan diri.

Kini, hari yang mendebarkan tiba. Sungguh, aku sangat tak yakin. Tapi disebabkan telah berdaftar, aku terpaksa. Dan, ye. Apa yang aku jangkakan memang berlaku. Instinct aku tak salah. Aku gagal untuk kedua-dua bahagian; on the road dan dalam track.

Repeat. Repeat. Banyak kali aku repeat. Kalau orang tahu, mesti terkejut. Lesen aku sangat mahal.

First time kena repeat, abah dan ummi masih berdiam. Second time, ummi selalu pesan, buat solat hajat, minta Allah tenangkan hati, permudahkan urusan. Tapi aku degil. Kali ketiga dan seterusnya aku masih berdegil. Sebab, pada aku, yang menjadi masalah utama adalah keyakinan dan trauma. Astaghfirullah.

Sampailah kali terakhir, malam atau pagi (tak ingat) sebelum aku mengulang semula ujian lesen memandu, aku ikut cakap ummi. Buat solat hajat, dengan harapan Allah akan tolong aku. Aku sangat berharap Allah dengar permintaan saat akhir aku ni. Kesian kat abah kena keluarkan duit banyak-banyak.

Entah kenapa, hati rasa tenteram. Alhamdulillah, repeat kali ni adalah repeat terakhir. Akhirnya, aku lulus.
Baru aku sedar, kata-kata seorang ibu tu tak pernah salah. Kata hati, arahan, permintaan mereka, semuanya untuk kebaikan kita, bukan kepentingan diri mereka.

Apapun, selagi nyawa seorang ibu masih dikandung badan, cubalah, sehabis daya, biarpun terkorban rasa dan jiwa, hormatilah mereka, dengar arahannya.

*PERINGATAN UNTUK DIRI SENDIRI*

Mauidzah Tok Guru 3

Lagi perkongsian daripada Tok Guru di dalam akhbar, 10-12 Ramadhan 1434/19-21 Julai 2013

Kali ni, mauidzah al-fadhil Tok Guru kita bertajuk "Hulur Bantuan Sebelum Sahabat Meminta".


Dalam surah an-Nur ayat 61 menjelaskan: "Bahawa tidak ditegah memasuki rumah dan makan, terhadap begitu banyak rumah golongan tersenarai yang dijelaskan oleh Allah s.w.t."
Termasuk golongan "sodiq" yang bererti kawan rapat, yang saling mempercayai dan membenarkan antara satu sama lain.
 
Termasuk pihak yang diharuskan memasuki rumahnya, mereka saling tidak meragui apa jua yang diperkatakan oleh kedua-dua pihak di kalangannya. Begitu juga rumah yang kamu diberi kepercayaan memegang kuncinya, kerana hanya sahabat yang dipercayai sahaja diberi menyimpan kunci rumahnya. situasi itu bukti perhubungan antara kedua-duanya sangat erat. 
Allah s.w.t. menurunkan ayat 61 surah an-Nur itu, kerana pada ketika itu walaupun berkawan begitu raapt, namun merasa tidak sampai hati untuk makan di rumah sahabatnya lantaran takwa, justeru itu hingga ayat 61 surah an-Nur diturunkan. 
Ayat tersebut juga mengizinkan kepada umat islam untuk makan minum, dengan senang hati di rumah sahabatnya yang bertaraf "sodiq" dan di rumah orang yang diberi kepercayaan memegang kunci rumahnya. Meskipun mereka tiada di rumah, tidak merasa bimbang akan dimurkai Tuhan, kerana terdapat golongan yang diberi kelonggaran. 
Lantaran mereka termasuk di bawah persaudaraan, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 61 surah an-Nur itu. Setelah dinyatakan peranan harta benda dan hubungan dalam persaudaraan, yang bertaraf "sodiq" dan kepercayaan itu, kini dinyatakan pula peranan khidmat tenaga dalam hubungan persahabatan. Jangan biarkan sahabat dengan tidak mengambil peduli susah senang kehidupan mereka. Tolong bantu dengan tenaga serta jiwa raga, bagi mengatasi kesempitan dan keperluan hidup sahabatnya, seperti yang dituntut oleh islam. 
Menilai keperluan dengan usaha kajian sebelum sahabatnya meminta sesuatu. Apabila diamalkan kepedulian tinggi di kalangan masyarakat, dengan sendiri tidak wujud dengki khianat dan perbalahan sesama mereka. Satu di antara perkara utama yang perlu dilakukan ialah; tunaikan hajat saudaranya lebih dahulu sebelum daripada menunaikan keperluan sendiri. 
Perkara tersebut tidak keberatan bagi mereka yang Allah s.w.t. kurniakan rezeki lebih sebagai orang berada, amat wajar mereka melakukan ajaran tersebut. Menunai hajat orang lain dengan tenaga serta jiwa raga mempunyai darjat (peringkat), sebagaimana menyempurna hajat sahabatnya dengan harta benda. 
Paling rendah darjat persahabatan mereka ialah; menyempurnakan ketika sahabat karib telah datang menyatakan hajatnya. Keprihatinan terhadap saudaranya dapat dilihat apabila ahli yang istiqamah berada di masjid, tiba-tiba orang berkenaan tidak kelihatan berjemaah pada suatu waktu. 
Ini menyebabkan orang yang tinggi rasa keprihatinan segera menyelidik tanya; apakah keuzuran sahabat itu hingga tidak hadir solat berjemaah. Sebaik mengetahuinya dia lebih dahulu menziarahinya jika sahabatnya itu ditimpa sakit, sebelum pihak lain memberitahunya. 
Dialah individu terawal membantu jika sahabatnya hadapi masalah pada diri atau keluarganya. Jika seseorang memiliki kudrat untuk memberi pertolongan, sepatutnya pertolongan diberikan sebelum sahabat menyatakan hajatnya. 
Pertolongan diberikan secara rela hati, dengan ceria serta wajah manis dan gembira, merasa bertuah atas kehadirannya, kerana berpeluang untuk mendapat pahala, bukan kerana malu atau keadaan terpaksa. Tetapi kerana orang itu telah datang minta bantuan. 
Sebahagian alim ulama menyatakan; bahawa apabila seseorang menemui sahabatnya untuk mohon disempurnakan sesuatu hajatnya, sayangnya mereka tidak menunaikan hajat tersebut, ketika itu hendaklah diperingatkan dia untuk kali kedua, mungkin dia terlupa. Andainya diberi peringatan kedua dia mengabainya juga bererti jiwanya telah mati. 
Apa ertinya hidup bersama dalam masyarakat, jika mengabaikan budaya bertolong bantu sesama ahli masyarakat. Justeru itu wajar didoakan ke atasnya semoga Tuhan hidupkan jiwanya yang telah mati, agar dapat bertemu seterusnya dalam situasi berkebajikan.
Alim ulama zaman silam ada yang ambil berat tentang nasib balu adik-beradiknya, walaupun saudaranya telah mati 40 tahun dahulu. Saban hari ulama berkenaan masih ulang alik, untuk ambil tahu bagi mengatasi segala keperitan hidup keluarga balu adik-beradiknya.
 
Orang itu bertanya khabar setiap hari, tentang makan minum serta lain-lain masalah, orang lain tidak menyedari meskipun telah berpuluh-puluh tahun dilakukuannya. Dengan cara begitu nampaklah simpati serta kasihan belas seseorang terhadap saudaranya yang telahmeninggal dunia. 
Jika tiada simpati dan kasihan belas terhadap saudara atau kawannya, maka tiada kebajikan seseorang itu bersaudara atau bersahabat. Ia terjadi lantaran pengetahuan agamanya amat sempit, mereka jarang bertemu dengan peristiwa begini dalam masyarakatnya.
Seolah-olah persahabatan dan ukhuwah islamiyah tidak wujud dalam kehidupan beragama, akhirnya masyarakat punah ranah dan hidup dalam situasi nafsi-nafsi. Segalanya mendedahkan masyarakat umat islam kian jauh daripada semangat hidup beragama.
Teringat kata-kata akhi naqibahku,
"Ukhwah/silatur rahmi yang berdasarkan akidah lebih baik/afdhal drpn ikatan darah (kekeluargaan). Antara sebabnya ikatan ukhwah akidah ialah ikhtiariah (boleh dipilih) manakala ikatan darah ijbariah (tak leh dipilih).
Kita boleh memilih siapa sahabat kita, tapi kita tak leh pilih siapa abang kandung kita....tp kalau ikatan darah plus ikatan akidah mestilah lagi hebat."
Allah.. hebatnya ukhuwah yang terjalin atas nama Allah. Bukan sahaja manis kerana kasih sayang kita, malah lebih manis kerana adanya redha Allah.

Thursday, July 18, 2013

Allah Juga Berahsia

Semua orang mesti ada rahsia masing-masing kan? Dan, kalau dah namanya rahsia, tak seorang pun yang tahu, even family dan sahabat karib sendiri. Hanya Allah dan diri kita sahaja yang tahu rahsia itu.
Rahsia tu amanah. Amanah yang perlu disimpan dan dijaga sehabis baik supaya tak terlepas kat orang lain. Kalau dah terlepas, takde maknanya lah rahsia tu.

Macam tu jugak Allah. Walaupun Allah dah menerangkan segala-galanya tentang kehidupan di dunia dan di akhirat, still ada beberapa perkara yang Allah rahsiakan daripada pengetahuan hamba-hambaNya.

Enam perkara, menurut Umar al-Khattab r.a, yang Allah sembunyikan adalah;

1-Allah menyembunyikan keredhaan dalam ketaatan. Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatan yang kita persembahkan kepadaNya supaya kita tidak kecewa di atas amalan
tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut, walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.

2-Allah menyembunyikan kemurkaan di atas kemaksiatan kita. Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat ar-Rahman di dunia.Sedangkan sebenarnya Allah murka kepada kita. Sepatutnya kita gunakan peluang ini untuk bertaubat kepada Allah SWT. Bayangkan kalau Allah zahirkan kemurkaanNya? Allahu akbar, sudah tentu hidup kita jadi tak keruan, tak tentu hala. Dalam satu jam, berapa banyak maksiat yang kita buat? *Muhasabah* Astaghfirullah...

3-Allah menyembunyikan kedatangan Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain. Oleh itu Allah menghendaki hambaNya melakukan ketaatan sepanjang ramadhan dan sepanjang hayatnya. andaikata Lailatul Qadar ni diumumkan tarikhnya, mesti kebanyakan daripada kita hanya akan beribadat pada malam tersebut saja kan?

4-Allah menyembunyikan wali-wali Allah atau hambanya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut. Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.
Sebab tu, sebaiknya kita tidak sesuka hati menghina atau mempersendakan sesiapa di kalangan kita. Boleh jadi, sahabat kita adalah wali Allah. Siapa tahu, kan?

5-Allah menyembunyikan saat kematian hambaNya dengan hikmah agar hambaNya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja. Jika Allah zahirkan tarikh dan tempat kematiannya pasti hamba-hambaNya tidak dapat menjalani kehidupan ini dengan tenang dan sempurna. Lihatlah banduan yang berada di bilik akhir sebelum dihukum gantung, mereka tidak tenang kerana terlalu takutkan kematian yang bakal dihadapi.

6-
Allah menyembunyikan solat yang paling utama di antara lima waktu solat disisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat. Jika Allah zahirkan penerimaan solat kita pasti kita akan bermegah-megah sesama manusia dan akan lalai serta mengambil peluang untuk melakukan maksiat.

Marilah kita bermuhasabah semula atas segala apa yang kita lakukan sepanjang hidup kita. Apakah kita akan ditempatkan di syurga atau sebaliknya? 
Ingatlah, banyaknya amalan kita takkan menjamin kita ke syurga kerana manusia tidak akan masuk ke syurga kerana amalannya, sebaliknya dengan rahmat dan kasih sayang daripada Allah. Berdoalah semoga Allah sentiasa merahmati kita.

Monday, July 15, 2013

Mauidzah Tok Guru 2

Sedang membelek sambil membaca sepintas lalu berita-berita dari newspaper ni, tetiba terhenti di satu halaman.

"Pentingkan Diri Bukan Sifat Terbaik Dalam Bersahabat". Tajuk yang biasa. Semua orang tahu, bersikap individualistik bukan sifat terbaik dalam sesuatu perhubungan, terutamanya persahabatan.
Tapi, apa yang menarik dalam artikel ni? Kupasan Tok Guru, memang mantap. Tajuk yabg biasa tapi ilmu baru.

Tok Guru menulis...
-Harakah, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013
Ada alim ulama zaman dahulu, tidak bersahabat dengan seseorang yang berkata; "ini kasut saya." Ditelitinya kata-kata orang yang akan dijadikan sahabat itu. Sekiranya lebih banyak buah kata yang menggambarkan hak miliknya, maka ulama tersebut tidak akan bersahabat dengan orang begitu. 
Amat berat untuk bersahabat dengan mereka, yang lebih banyak bercakap tentang hak miliknya saja. Meskipun benda itu memang miliknya sebenar, tetapi lebih baik dia berdiam diri daripada mempamerkan keakuannya. Sifat keakuan menggambarkan adanya kepentingan diri, tidak sesuai untuk persahabatan. 
Dalam persahabatan sepatutnya mewujudkan semangat kepentingan bersama, sekaligus pada hakikatnya benda itu bukan milik bersama. Beliau tidak pernah melakukannya perkara itu tersa berat baginya, bagaimanapun wajar ada azam dalam hati untuk lakukan kaedah persahabatan Islam yang luhur itu. 
Zainal Abidin iaitu Ali bin Husin r.a bertanya kepada muridnya: "Adakah pernah di antara kamu seluk kocek atau beg galas kawannya, diambil untuk keperluannya wang dirham tanpa izin kawannya itu?" Jawab muridnya: "Tidak pernah." Kata Zainal Abidin: "Jika demikian anda masih tidak bersahabat lagi." 
Menurut Zainal Abidin; orang yang bersahabat rapat tidak marah, jika poket atau beg galasnya diseluk kawan rapat lalu diambil wang walaupun tanpa izinnya. Ada pihak menganggap perbuatan itu serupa dengan mencopet, namun segera dinafikan oleh Zainal Abidin, kerana merompak itu dilakukan lazimnya terhadap orang yang tidak dikenali.
Orang yang sanggup melakukan perkara tersebut, lantaran harta dalam poket sahabatnya dianggap sebagai milik bersama. Perbuatan itu dianggap sebagai tanda persahabatan yang amat akrab. Tidak sanggup berbuat begitu tandanya dia masih mementingkan wang daripada persahabatan. 
Sedangkan masyarakat islam mempunyai sistem berkawan, iaitu terdapat suhbah dan ukhuwwah. Sanggup bersahabat sebagai yang dikasihi, atau sebaliknya meminati harta kekayaan, yang belum tentu menyelamatkan dirinya di akhirat kelak. Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan kisah persahabat luar biasa; suatu hari ada orang bawa hadiah kepada sahabat Nabi daripada kalangan 'Ashabus Suffah.' 
Walau bagaimana miskin,hadiah itu diterima dan diserah kepada sahabat yang lain, kerana menganggap sahabat tersebut lebih memerlukan berbanding dirinya. Hadiah tersebut bertukar tangan daripada seorang, hingga kepada sahabat yang ketujuh dan menyerahkan kepada sahabat yang kelapan. 
Tetapi sahabat kelapan itu sebenarnya ialah; sahabat pertama yang mula-mula menerima hadiah tadi. Kisah tersebut menggambarkan betapa tingginya perasaan simpati, di kalangan para sahabat yang mulia. Mengatasi kepentingan diri sendiri kerana mengutamakan sahabatnya yang lain. Sifat prihatin menjaga keselamatan sahabat berbanding diri sendiri. 
Golongan 'ahlus syuffah' adalah kalangan para sahabat, ditempatkan di serambi masjid yang dididik oleh Nabi s.a.w. sendiri. Sehingga memiliki keperibadian yang agung itu. Al-Imam Ad-Daroni (ulama dihormati oleh al-Ghazali) berkata; "Seandainya harta seluruh dunia dikurniakan kepadaku, nescaya akan kuberikan kepada hanya seorang sahabat karibku. Tentunya aku merasa masih terlalu sedikit pemberianku itu." 
Manusia jika sampai kepada peringkat faham, maka sebanyak mana harta di dunia ini akan merasa sedikit, meskipun yang diberikan kepada orang lain sebesar dunia namun jika boleh akan memberinya lagi. Kerana sebuah mahligai di syurga yang akan dikurniakan kepada manusia, lebarnya sahaja umpama seluas langit dan bumi. 
Pemberian kepada seseorang meskipun sama banyak dengan harta dunia, masih terlalu sedikit jika dibanding dengan kurnia Allah s.w.t. di akhirat kelak. Selain menyumbang wang dan harta apabila kita bersahabat karib dengan seseorang, hendaklah memberi kelapangan dan keselesaan rumahnya untuk mereka. 
Jangan ada sesuatu perkara yang menyebabkan sahabat kita berasa segan, untuk singgah dan masuk ke rumah kita. Justeru itu terdapat ucapan ahlan wa sahlan di kalangan masyarakat islam, ucapan tersebut amat sesuai dengan falsafah persahabatan murni yang dituntut oleh islam itu. 
Ahlan itu bererti semua di kalangannya dan mereka adalah ibarat ahli keluarga sendiri, dan sahlan itu pengertian asalnya ialah tanah lembah, yang tiada gunung-ganang dan jurang mudah manusia melaluinya. Ini bererti rumah kita tiada yang menjadikan rakan kita, merasa kekok atau segan untuk memasukinya. 
Ini kerana rumah tersebut keadaanya sahlan iaitu tiada sebarang halangan atau rintangan bagi mereka. Ibarat rumah milik sendiri. Mereka boleh masuk ketika tuannya tiada di rumah, kerana rumah kita seperti rumah mereka juga, justeru itu hendaklah berlaku sebaliknya. 
Mereka tidak perlu terkejut dan heboh, kerana mereka berdua sudah jalin ukhuwwah atau persaudaraan dengan erat. Tidak ada halangan memasuki rumah seperti yang disebut dalam al-Quran 'au sodoqikum', yang bermaksud: "atau di rumah kawan-kawanmu." (Surah An-Nur, ayat 61). Ayat ini sebahagian daripada ayat yang panjang yang Allah s.w.t. jelaskan tiada halangan memasuki rumah kawan rapatnya (sodiq) itu.

Allahu Allah.. muhasabah balik, di peringkat mana persahabatn kita? Adakah hanya di tahap pertama - salamatus shodri (berlapang dada) ? Atau di peringkat kedua - musawah (persamaan) ? Atau sudah mencapai ke tahap tertinggi - ithar (melebihkan kepentingan sahabat melebihi kepentingan diri) ?

Semoga persahabatan yang terjalin adalah kerana Allah.





Memilih Rumah

"Akak, mcmna nak pilih jemaah ni? Sakit otak nak fikir, padahal sama je semua. Tak boleh ke gabung je semua jemaah ni?"
"Emm, nak pilih jemaah ni, sebenarnya kita kena tahu dulu sejarah jemaah tersebut. Dapat tahu yang asas pun, jadi lah."
"Yang asas? Mcmna 'asas' tu?"
"Contoh, tujuan penubuhan..,ciri-ciri dia..,siapa pemimpin dia..."
"Ohh, okay. Maknanya saya kena kaji lagi la ni? Lepastu buat perbandingan?"
"Yup, nampaknya mcmtu lah ;)"

Erghh, malasnyaa. Sakit otak je nak fikir!

Hmm.. susah juga nak pilih jemaah ni. Sebab, asasnya, semua jemaah bermatlamat untuk menyebarkan dan menegakkan islam. Habis tu, macamna ni? Kalau semua sama, kenapa mesti ada pelbagai jemaah? Islam tu berpecah ke?

Erkk..??
Tak, islam tu tak berpecah. Malah, wujudnya pelbagai jemaah ni bukanlah menandakan islam tu tak bersatu. Kepelbagaian ini secara tidak langsung, sebenarnya menunjukkan bahawa ramai orang sedang berlumba-lumba menyahut seruan Allah,
..oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan...[Q.S. Al-Baqarah, 2:148]


Bukankah ini satu perkara baik?
Secara amnya, semua jemaah adalah baik (ye lah, dah nama pun nak tegakkan islam, mestilah baik -.-)
Tapi, sebolehnya kita carilah yang paling terbaik! Kalau dalam study pun, takkan kita nak dapat lulus je? Mesti kita nak cemerlang terbilang juga kan? Mcmtu juga memilih jemaah. 

Ish, membebel je. Jawapan takde lagi ni. Sabar, sabar. Allah bersama orang-orang yang bersabar ;)

Okay, antara ciri-ciri yang perlu dilihat dalam sesebuah jemaah ialah (ni ciri-ciri islam)
1- syumuliah-lengkap mencakupi setiap aspek kehidupan
2-alamiyah-bersifat universal, tidak bias hanya pada satu tempat
3-inqilabiyah-tidak bercampur antara haq dan bathil
4-thabat wa murunah-tetap pada hukum, fleksible pada pelaksanaan
5-rabbaniyah-meletakkan Allah di tahap yang teratas

manakala ciri-ciri khusus jemaah islam,
1-rabbaniyah
2-dzatiah (tersendiri)
3-taqaddumiyah (membawa kemajuan menurut islam)
4-syumul
5-menjauhi perselisihan masalah feqah

ni hanya sedikit yang dapat dikongsikan bersama. Untuk kupasan lebih dalam, insyaAllah satu masa yang diizinkan Allah nnt =) *kalau rajin*

Apapun, istikharahlah, mintalah pada Allah, yang mana terbaik buat agama, masyarakat, dan diri kita.



"Kebenaran hanya satu, tidak dua, tidak tiga, dan seterusnya..."



Saturday, July 13, 2013

Antara kambing dan serigala

Siapa tak kenal kambing? Haa, mengaku cepat! Ni lah kambing. Cantik,kan? Kambing ni macam orang perempuan, kalau jalan sendirian, mesti ada je yang nak ganggu. Tapi bila jalan dalam kumpulan, insyaAllah selamat!

Ok seterusnya, siapa tak kenal serigala? Ada? Allahuakbar. Takpe,takpe. Meh saya tunjukkan serigala yang mana.
Haa inilah serigala. Handsome kan? Serigala ni pulak boleh diibaratkan macam lelaki, kalau dia bersendirian pun, still boleh survive. Orang nak kacau pun tak berani. Apa lagi nak cari pasal. Memang tempah maut lah kot. So, jadilah seperti serigala! Ok tak pasal~

Haish, apa benda nak disampaikan sebenarnya ni? Kejap kambing, kejap serigala. Apa kaitan?
Haa.. Ni nak bgthu lah ni. Tp sebelum tu, pada pendapat anda, perlu tak kita berkumpulan? Atau duduk dalam satu kelompok yang ramai? Apa kepentingannya? Kalau berkumpulan ni, leceh. Nak kena jaga hati orang lagi, nak kena fikir orang lagi, buat serabut fikiran je! Baik duduk sensorang, aman je hidup, takde siapa nak komen apa kita buat, ye tak?
Ish, membebel pulak dia ni. Cepat lah bgthu apa kaitan kambing, serigala, semua ni???
Opss, okay, nak bgthu lah ni.
Kalau nak tahu, ada disebutkan dalam sebuah hadis tentang keperluan kita berkumpulan, atau dalam arabnya berjemaah.

Haa. Itu lah kaitannya. Bayangkan, seekor kambing berjalan sendirian. Di satu sudut tersorok, ada seekor serigala sdg memerhati. Agak-agak mudah tak untuk serigala itu menerkam si kambing tadi? Mestilah mudah, kan? Dah la lemah lembut, slow je berjalan.. Muka pulak cantik, serigala mana tak tergoda? -.-
Mcmtu juga, bila kita (khususnya wanita) berjalan seorang diri. Mesti bahaya dan mudah diganggu. Inilah pentingnya kita berjemaah. Diri kita lebih selamat, iman kita pun lebih terjaga. Malah, amalan kita pun insyaAllah akan lebih mantap! Kalau orang nak ganggu kita pun, kita dah ada penyelamat!
Begitulah, pentingnya jemaah. Untuk berdakwah, tak dinafikan ada antara kita yang boleh berdakwah secara fardiah(individu). Tapi, sejauh mana kualiti dan kesan dakwah fardiah itu? Bagaimana pula keadaan si daie, adakah terus kental dan cekal, atau mudah rasa 'down'?

Dalam al-Quran, banyak disebut tentang jemaah. Salah satunya :

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.
[Q.S. 'Ali Imran. 3:104]

Sekarang, dah nampak kan keperluannya? Jadi tunggu apa lagi? Carilah mana-mana jemaah yang sesuai, dan jadilah sebahagian daripada mereka. Ehh, kejap. Macamana nak tahu jemaah tu sesuai ke tidak? Haa, untuk menjawab persoalan ni, jom kita ke entri seterusnya.

Pentingnya jemaah :) jom tengok!!!



Friday, July 12, 2013

هذا سبيلي

Sepanjang di tempat pengajian selama hampir dua tahun, bermacam-macam pengalaman aku timba. Terutamanya berkaitan usrah.
Dulu, di kampus Nilai, aku menjadi ahli usrah kepada satu persatuan (jemaah) ni. Namun, aku hanya bertahan bersama mereka untuk beberapa bulan sahaja.
Selepas berpindah ke kampus Petaling Jaya, boleh dikatakan aku bebas. Bebas daripada berusrah, berpersatuan. BEBAS. Kebebasan yang amat menguji tahap keimanan.
Sampai satu masa, kerana Allah masih menyayangiku dan melindungiku dari perkara yang tidak bermanfaat...

Situasi 1
"Assalamualaikum. Ni Nur ke?"
"Waalaikumussalam, ye, ni saya, Nur. Ni siapa ya?"
"Nur, apa khabar? Sihat?"
"Alhamdulillah, sihat."
"Ni ustazah X. Maaf, ustazah dapat nombor awak dr kawan awak. Ustazah nak ajak awak join usrah kami. Awak nak?"
"Erk, usrah apa tu ustazah?"
"Bawah A (nama salah satu jemaah). Kalau awak ada masa lapang, datang jumpa ustazah ye di XX department."
"Ohhh, okay,okay, InsyaAllah. Syukran,ustazah."

Situasi 2
"Awak, lama kita tak berborak. Awak sihat? Macamna sekarang?"
"Emm, masing-masing busy kan. Kelas pun dah lain-lain. Alhamdulillah, sihat mcm ni lah. Maksud macamna tu, macamna apa?"
"Ermm, macamna, awak ada join mana-mana usrah tak?"
"(dengan rasa serba salah, malu) err, takde. Taktahu nak minta kat siapa. Awak join usrah ke? Bawah apa?"
"Alhamdulillah, ada join. Best! Err, okay sebenarnya tak boleh bagitahu, tapi saya percaya kat awak sebab awak sahabat saya, saya bagitahu. Ermm, bawah B (nama satu lagi jemaah). Kalau awak nak join, saya boleh bagi nama awak kat naqibah saya. Nak?"
"Hehe, boleh,boleh, bagi je lah nama. Kalau rezeki, saya join lah. Terima kasih, awak."

Situasi 3
"Nur, awak nak join usrah tak? awak takde usrah lagi, kan?"
"Ha'ah, takde usrah lagi. Nak, nak."
"Awak tahu saya bawah apa kan?"
"Haa... Emmm. Tahu kot. bawah C (nama jemaah) kan?"
"(serba salah nak angguk atau tak, hanya tersenyum) nak tak?"
"Nak, nak, boleh, boleh (semangat)"
"Ok, set."
Allahu Akbar.
Tiga sekali datang dalam satu masa yang sama! Allah, Allah.. Sebak rasanya. Allah membuka jalan yang luas untuk aku berubah. Hanya tinggal aku untuk memilih. Ya Rabbi, bersungguh sekali Kau mahukan aku berubah. Mengisi kekosongan jiwa.

Lama aku mendiamkan diri, mencari jawapan. Meminta pada Yang Maha Mengetahui yang terbaik buat hambaNya. Duduk berdiskusi dengan beberapa orang yang kukenal. Menilai dan terus menilai.

Alhamdulillah, akhirnya hatiku hanya terbuka pada yang satu ini.. yang kuyakin dengannya.

Allah, inilah pilihanku, inilah jalanku. Tetapkanlah hati ini dan berilah aku kekuatan untuk terus di dalamnya bersama-sama saudaraku yang lain. Aameen...

Cakap Tak Serupa Bikin

“Adik, lepas makan tolong basuh pinggan terus ye, jangan tinggalkan je. Don't act like a boss okay? ”
“Emm, baiklah, kak.. Akak tu, selalu je tinggalkan pinggan kotor dalam sinki, takpe pulak?”
“Ehh, akak dah besar! Adik lah yang kena tolong, belajar buat kerja dapur.”
“Mana boleh macamtu, kak. Akak sepatutnya tunjuk contoh kat adik-adik yang lain. Kalau akak boleh tinggalkan je pinggan kotor tu, kitorang pun boleh lah. Cakap tak serupa bikin lah akak ni!”


Haaa, tengok, budak kecik pun pandai menilai! Kalau nak didik, didiklah dengan perbuatan, bukan kata-kata semata. Action speaks louder than words, kan? 

Sedar atau tidak, betapa ramai di kalangan kita termasuk dalam golongan ini. Golongan yg bagaimana? Buka semula Surah as-Saff ayat ke 2-3.


يٰۤاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا لِمَ تَقُوۡلُوۡنَ مَا لَا تَفۡعَلُوۡنَ‏ ﴿۲﴾  كَبُرَ مَقۡتًا عِنۡدَ اللّٰهِ اَنۡ تَقُوۡلُوۡا مَا لَا تَفۡعَلُوۡنَ﴿٣
Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu perkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? (2) Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.(3)

Ya, itulah golongan yang dimaksudkan! Golongan yang pandai cakap, tapi tak buat apa yang dikatakannya.

Contoh situasi lain, kamu sedang berbual dalam telefon bersama sahabat kamu. Tiba-tiba, emak kamu panggil untuk meminta bantuan. Lantas, kamu berjanji kepada sahabat kamu untuk menghubunginya semula setelah selesai kerja kamu. Namun, sehingga tiga hari kemudian kamu tidak menghubunginya.

Berhati-hatilah!
Seringkali, kita pasti akan diuji dengan kata-kata kita. Itu sebab pepatah melayu pun ada mengatakan, kerana mulut badan binasa. Kita berjanji itu dan ini, tapi tak tertunai, akhirnya kita dibelasah, disakiti akibat janji kita sendiri.
Kata-kata tak semestinya secara lisan, tulisan juga merupakan kata-kata kita.

Buat para penulis, pemidato, penceramah, pendakwah, dan sesiapa juga. Ingatlah, jangan sampai kata-kata memakan diri sendiri! Setiap kata-kata kita pasti diuji. So, think twice before you speak. Moga Allah melindungi kita drpd tergolong dalam golongan ini. Nauzubillah…

Wednesday, July 10, 2013

Salahkah Aku?

“Belajar kat mana semua ni? Amik bidang apa? Semua overseas ke?” Soalan yang lazim dan wajib setiap kali kami menjenguk sekolah. Wajib, tak seorang pun guru mahupun junior akan terlepas bertanyakan soalan tu.
“InsyaAllah, bulan September ni saya fly ke A, cikgu. Bidang Y.”
“InsyaAllah, bulan September ni saya fly ke B. Saya amik X”
“Saya, insyaAllah akan ke C September ni, buat Z.”
“Saya ke sana.” “Saya ke sana.” Semua yang hadir bersama menjawab akan ke negara orang. Aku diam, menadah telinga, menjaga air muka setiap kali soalan itu diajukan.

Muka cikgu (dan mereka pastinya) bahagia. Begitu juga suara.

“Awak? Tak jawab lagi kan?” mereka tertumpu pada aku.
“Saya, Malaysia(nak jugak sebut nama Negara (-.-“). Amik Bahasa Arab.” aku menjawab penuh  yakin, semangat dan bangga! Biarpun hanya di dalam negara, setidak-tidaknya aku masih meneruskan pengajian di peringkat university bertaraf antarabangsa. Kos yang aku ambil pun, jarang-jarang orang mengambilnya.

Namun, yang buat aku berasa hati, setiap kali jawapan itu keluar dari mulutku, ada sesetengah (hampir semua yang bertanya) akan berubah air muka dan nada suara. Jawapan balas yang aku terima juga menyakitkan. “Ohhh, kat situ dah berlambak budak sekolah kita, tak special lah. Emm, kos Arab, okay lah tu…”


Allah… sampainya hati seorang guru berkata sedemikian kepada anak muridnya. Teruk sangat ke bila kami tak menyambung pengajian di luar negara? Apa salah aku menyambung bahasa? Kenapa pelajar bahasa sering dipandang rendah???? Aku tak faham! Okay, sabar.

Ada sahabat yang turut merasai kepedasan kata-kata itu, walaupun dia akan ke overseas. Dia memahami kepedihan yang kurasakan. Dia memujuk aku. Ohh, sungguh, aku dah biasa keadaan begini. Tapi entah kenapa kali ni aku tak dapat menahannya. Mungkin kerana sahabat yang paling aku sayang akan meninggalkan aku tak lama lagi. Atau mungkin kerana hari itu terlalu banyak respon negative yang aku terima, membuatkan hatiku semakin luluh. 

Sabarlah wahai hati… mereka taktahu cerita sebenar. Biarlah, Allah maha mengetahui kebenarannya...

Dalam kegundahan yang menyelubungi, aku bersyukur masih ada sebahagian guru yang lain yang tetap memberi semangat untuk aku. Yang masih nampak kepentingan bahasa sebagaimana pentingnya bidang lain. Yang melayan aku sama seperti rakan-rakan lain.

**********
Biarpun aku pernah menjadi pelajar bermasalah,pelajaranku tak sehebat yang lain, aku masih menjadikan tempat itu tujuan utama aku setiap kali cuti panjang. Ya, setiap kali cuti. Rasa rindu akan pentarbiyahan dan suasana di sana telah memaksa kaki aku untuk terus mengunjungi bangunan oren itu, biarpun jaraknya sangat jauh dan memakan masa yang sangat lama. Biarpun aku tahu hati aku bakal dilukai. Aku tak kisah. Aku tak kisah berhabis duit dan tenaga ke sana, berkorban jiwa dan raga(ok, over), asalkan rinduku pada para murabbi terubat walau sekelumit cuma. Ya, dan kerana mereka berdualah, aku menguatkan langkah untuk ke sekolah.
Allahu rabbi. Hanya Dia yang memahami perasaanku saat ini. Aku memujuk diri, mengimbau kembali dalil-dalil berkenaan bahasa arab, menjadikannya sumber untuk aku terus bangkit. Untuk aku turut berasa hebat seperti yang lain!
"Sesungguhnya kami menurunkannya berupa Al Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya" (Q.S. Yusuf: 2).
"Cintailah bahasa arab kerana tiga: kerana aku berbangsa arab, Al-qur’an berbahasa arab, dan kalam ahlu al-jannah (penduduk syurga) adalah bahasa arab”. Disebutkan oleh ibnu ‘asakir dalam terjemah zahir ibn Muhammad ibn ya’qub. 
Imam Syafi’i rahimahullah berkata: “Tidaklah kebodohan dan perselisihan faham yang terjadi pada manusia (umat muslim) melainkan kerana mereka meninggalkan bahasa Arab dan mereka lebih memilih bahasa Aristotles (bahasa orang barat)”.
Kata Imam Syafi’I lagi, “Tak seorang pun akan mengetahui jelasnya ilmu-ilmu dalam Al Qur’an selama orang itu tidak mengetahui luasnya bahasa Arab, luasnya cakupannya, luasnya masalah dan tingkatannya dan barangsiapa memahaminya maka dia akan selamat dari terkena syubhat seperti yang terjadi pada orang-orang yang tidak memahaminya”.
Beliau pun berkata : “Wajib bagi setiap muslim mempelajari bahasa Arab dengan mengerahkan kemampuannya, hingga ia dapat bersyahadat dengannya, dapat membaca al-Qur’an dengannya, dapat mengucapkan dzikir-dzikir yang diwajibkan baginya (dalam solat) berupa takbir, tasbih, tasyahud dan lain-lainnya.” (Ar-Risalah 48-50, Ithaful Ilfi hal. 15)

Dan banyak lagi kata-kata ulama tentang bahasa arab.
Teringat satu kata-kata sahabat,
إذا أردت أن تدخل إلى البيت فأنت بلا شك تحتاج إلى مفتاح، إذا أردت ركوب الدراجة النارية أو قيادة السيارة فأنت دون الرفض تحتاج إلى مفتاح، وكذلك لفهم الدين أنت تحتاج إلى مفتاح وهذا المفتاح هو اللغة العربية..

"Kalu demo nok masok ghumoh demo keno ado koci..Kalu demo nak naik muto atau naik keto demo keno ado koci jgak.Supo jah kalu demo nak pehe agamo pun keno ada koci dan koci tu adalah bahasa arab."



"Berusahalah seberapa daya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab fusha ( bahasa a'rab yang betul atau baku ) kerana bahasa Arab yang fusha itu adalah satu syiar Islam."


belajar BAHASA ARAB bukan bererti aku tinggalkan ilmu SAINS..
memilih BAHASA ARAB bukan bererti aku x mampu belajar SAINS..
mencintai BAHASA ARAB bukan bererti aku x cintakan ilmu SAINS...
malah dgn mendalami BAHASA ARAB ini aku lebih mengenali AL-QURAN & SAINS!


Kerana aku juga mahu hidup seperti yang lain...


Tuesday, July 9, 2013

1-1=10

Erti hidup pada memberi.
Selalu kita dengar ungkapan ni, kan?
Aikk, erti hidup pada memberi? Mana boleh macamtu. Kalau kita bagi orang, kita pulak yang takde. Takde erti hiduplah maknanya.
Habistu, kenapa orang selalu kata macamtu? Saya tiru je lah. (Ehh, boleh pulak nak taklid tak berhujah (",?) )

Aiwah..jom kita faham kenapa ungkapan itu sering diguna pakai oleh kebanyakan orang.

Disebut di dalam sebuah hadith, 

Sedekah yg paling utama atau paling baik adalah sedekah yg diberikan ketika ia mampu. Dan tangan yg di atas adalah lebih baik daripada tangan yg di bawah. Dan dahulukanlah pemberian itu kepada orang yg menjadi tanggunganmu. [HR. Muslim No.1716].


Dalam satu kisah,
Saidina Ali diminta oleh isterinya Saidatina Fatimah yang sedang mengandung utk mendapatkan epal. Dia berjaya mendapatkan 2 biji epal di pasar. Dalam perjalnan pulang ke rumah, Saidina Ali menemui seorang miskin yang meminta epal itu. Saidina Ali merasa tersepit dengan keadaan itu. Epal itu untuk isterinya yang mengandung sedangkan pada masa yang sama dia berdepan dengan seorang yang sangat miskin. Saidina Ali akhirnya memberikan epal tersebut kepada si miskin itu kerana dia yakin dengan janji Allah yang akan membalas perbuatnnya dengan 10 ganjaran. Apabila dia sampai ke rumah dia mendapati isterinya sedang memakan epal dan bersamanya ada lagi bungkusan epal yg terdapat. Di dalamnya 9 biji epal. Lalu dia bertanya kepada isterinya: berapa biji epalkah yang telah dimakan. Fatimah menjawab: baru sebiji. Benarlah janji Allah bahawa satu kebaikan dibalas sepuluh ganjaran.

Haa, nampak tak, bahawasanya erti hidup pada memberi.
Setiap kali kita memberi (dengan ikhlas), mesti hati kita akan rasa bahagia, fikiran jadi lapang.. Kita memberi bukan semestinya kerana kita ada banyak. Tapi yang sedekit itulah yang dikongsi. Nikmatnya memberi, hanya mereka yang pernah memberi yang tahu. 

Jangan risau, rezeki kita takkan sesekali berkurang bila kita rajin bersedekah atau memberi. Itu janji Allah, yakinlah! Ya, secara logik akal, kalau kita ada satu, kemudian kita bagi orang, kita akan jd kosong (1-1=0). ini hanya logik matematik! Matematik manusia tak sama dengan matematik Allah. Allah kata, kalau kita ada satu, kita bagi orang, kita akan dapat 10! (1-1=10) Ajaib,kan? Tapi itulah hakikat.

Pernah, aku kekeringan wang belanja. Nak makan pun berkira-kira. Dalam masa yang sama, seorang kawan aku lebih 'kering'. Alhamdulillah, aku dididik menjadi seorang yg suka memberi. Aku hulur duit yg sedikit tu kat dia. Aku berhelah, kata aku ada duit lagi, jangan risau. Dengan berat hati dia menerima. Nak dijadikan cerita, betapa janji Allah itu benar, dalam masa terdekat tu jugak, ayah aku menelefonku, mengatakan dia dah bank in duit ke dalam akaun aku. Allahu akbar! Cepat sungguh ganjaran Allah beri. Speechless. Rasa nak menangis pun ada. Syukur. 


Rasa bahagia bila kita tengok seseorang tu tersenyum kerana menerima sesuatu daripada kita. Biarpun harganya murah, tapi kerana nilai pemberian itu adalah ikhlas (insyaAllah), ia menjadi seolah-olah sesuatu yang sangat mahal! Berkongsilah. Tak rugi.

"Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya." [ al-Rum,38]
Seriously, memberi ni satu nikmat! Pegang kata-kata ni, "memberi adalah syarat untuk menerima". InsyaAllah, kita akan lebih mudah untuk memberi. Kita mahukan kasih sayang Allah, maka sebarkanlah dahulu kasih sayang kita kepada makhlukNya. Kita mahukan rezeki yang banyak, maka permudahkanlah orang lain. Kita hendak berjaya dengan cemerlang, maka berilah kesungguhan yang tak berbelah bagi dalam menuntut ilmu. Kita mahukan sesuatu, maka berilah sesuatu dahulu sebelum kita menerima. 
Fastabiqul khairat!

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." [ Ali Imran,92 ]

Monday, July 8, 2013

Mauidzah Tok Guru 1

Sejak belakangan ni baru terasa rajin nak belek satu persatu halaman. Sampai part AGAMA, ehh, menarik ni! Mauidzah Tok Guru!
3-5 Ramadhan 1434/12-14 Julai 2013
"Sifat Mukmin Dahulukan Sahabat Daripada Dirinya"
Islam amat menggalakkan agar hidup sentiasa bersahabat. Apabila berkawan ada tanggungjawab terhadap harta benda, iaitu harta benda kita terhadap sahabat dan begitu juga sebaliknya. Taraf persahabatan itu mempunyai tiga keadaan; yang paling rendah ialah kawan kita umpama budak suruhan di bawah jagaan kita, apabila tidak selesai urusan kita, baru diserahkan kepada mereka. 
Kedua, sahabat itu setaraf dengan kita, iaitu kita rela harta dikongsi bersama, sebaliknya dia pun demikian juga. Ketiga peringkat yang tinggi iaitu 'ithar' mengutamakan orang lain sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "...Dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun diri mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kebakhilan dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah al-Hasyr, sebahagian ayat 9) 
Itulah sifat mulia yang ditunjukkan oleh golongan ansar, terhadap saudaranya golongan muhajirin yang berhijrah ke Madinah bersama Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum menyempurnakan hajat diri sendiri, mereka lebih dahulu bertanya khabar kawannya golongan muhajirin. Dikhuatiri ada perkara yang lebih mustahak berbanding dirinya sendiri. 
Seandainya dalam tiga kategori itu tiada satu pun dirinya termasuk di dalamnya, tidak pada peringkat kawan umpama orang suruhan, tidak juga peringkat yang kedua di mana sama taraf antara dirinya dan kawannya, jauh sekali di peringkat ketiga yang lebih mengutamakan sahabatnya daripada diri sendiri, ketahuilah, bahawa kesimpulan persahabatan itu tidak wujud langsung pada diri dan jiwanya. Ertinya seseorang itu berkawan bertaraf kebetulan, disebabkan mereka berjiran dan berjumpa tanpa dijangka. Tanpa suatu ikatan setia yang terjalin antara mereka. Berkawan tanpa ikatan pasti tiada rasa 'ukhuwah' dan 'shuhbah', sekadar tegur sapa seperti berjumpa di jalanan atau di pasar-pasar. 
Dalam situasi demikian sudah pasti tiada tanggungjawab dan keprihatinan sesama mereka. Sebagaimana seorang lelaki dan wanita dijalin dengan ikatan akad nikah sebagai suami isteri, yang membawa kepada pelbagai tanggungjawab. Justeru, sesama manusia mesti ada jalinan ikatan tertentu, seperti ikatan persahabatan dan ukhuwah. Supaya ada rasa tanggungjawab terhadap rakan karibnya. 
Orang yang tiada ikatan ukhuwah ('aqdul ukhuwah) di antara mereka, sesamanya akan mudah terjerumus ke lembah persengketaan dan perbalahan. Seorang alim bernama Maimun bin Mahran berkata: "Sesiapa berkawan tetapi tidak ambil peduli tentang lebih-melebih dan beri tumpuan kepada kawannya, situasi itu umpama berkawan dengan jenazah." 
Sudah tahu rakannya dilanda kesusahan, sedangkan dia mampu menolongnya, namun tetap tidak membantunya malah mengutamakan diri sendiri. Ketika itu tiada bezanya antara berkawan dengan orang hidup atau mayat. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "...sedang urusan sesama mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Surah as-Syura, sebahagian ayat 38) 
Sifat dalaman orang mukmin, ialah sebarang urusan yang hendak dilaksanakan lebih dahulu diputuskan melalui mesyuarat. Sifat kedua ialah sanggup membelanjakan harta kekayaan, untuk urusan ummah dan agama. Sesetengah manusia rajin bermesyuarat, malangnya kedekut menafkahkan harta banda yang dikurniakan Allah s.w.t terhadap kawannya. Sikap demikian bercanggah dengan sifat orang mukmin. 
Kedua-duanya mesti selaras antara sesuatu urusan diputuskan melalui mesyuarat, dengan menafkahkan harta benda, sesuai perkara yang dicapai bersama oleh keputusan mesyuarat. "Menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka" ialah bergaul dan berkepentingan bersama antara mereka daripada sesetengahnya. 
Meskipun pada hakikatnya ia milik orang tertentu, namun ia boleh dimanfaatkan bersama dalam urusan yang diredhai Allah s.w.t. Situasi tersebut terjadi kerana ada ikatan persahabatan yang terjalin antara mereka. Alangkah sukarnya untuk sampai ke tahap situasi demikian. Memang begitulah hakikat bahawa syurga itu suatu yang amat istimewa, amat sukar untuk dicapainya. 
Tiada pilihan bagi seseorang di mahsyar kelak, melainkan mesti meniti titian halus 'siratul mustaqim', di permukaan neraka yang sangat dahsyat itu. Jika dalam keadaan menerima rahmat Allah s.w.t.,  atas keimanan dan ketaatan, selamatlah dia sampai ke syurga. Sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah s.w.t yang bermaksud :"Dan tidak ada seorang pun daripadamu melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. " 
" Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim dalam neraka dalam keadaan berlutut. " (Surah Maryam, ayat 71-72)
Begitulah sukarnya untuk sampai ke syurga yang dijanjikan Tuhan, sebagaimana hendak mendapatkan pahala di dunia ini mesti melalui kesukaran juga. Orang zalim dan kafir hanya bermimpi untuk masuk syurga, kerana tempatnya di neraka telah ditentukan oleh Allah seperti dinyatakan dalam ayat 72 surah maryam itu.

Be the one until you get that one :)